PENCEMARAN ALAM : JENIS PENCEMARAN, LANGKAH MENGATASINYA & KESAN

 
Sumber: Internet
JENIS PENCEMARAN:
1. Pencemaran udara
2. Pencemaran air
3. Pencemaran tanah
4. Pencemaran bunyi
5. Pencemaran sisa pepejal

LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN ALAM:
1. Pendidikan alam sekitar
2. Amalan harian di rumah
3. Kempen

KESAN PENCEMARAN ALAM:
1. Menjejaskan kesihatan manusia
2. Kemusnahan habitat flora dan fauna
3. Penipisan lapisan ozon


PENCEMARAN ALAM jika dibiarkan akan mengganggu keharmonian dan keselesaan kehidupan kita. Sebenarnya, terdapat beberapa jenis pencemaran alam yang berlaku di sekeliling kita. Antaranya pencemaran air, pecemaran udara, pencemaran tanah, pencemaran bau, pencemaran sisa pepejal, pencemaran bunyi, dan sebagainya.

Pencemaran udara berlaku disebabkan pembakaran aktiviti pembakaran terbuka dan masalah pelepasan asap dari kenderaan. Pencemaran udara sering berlaku di kawasan bandar pada waktu-waktu puncak seperti pada waktu petang. Pencemaran udara yang tinggi di kawasan bandar boleh mengakibatkan berlakunya fenomena pulau haba bandar.

Pencemaran air pula biasanya berlaku disebabkan pembuangan sisa toksid ke dalam sungai. Bahan buangan seperti ammonia, sianida, dan sisa-sisa asid menyebabkan kemusnahan kepada hidupan akuatik sama ada di dalam sungai ataupun laut. Pembuangan sisa pertanian seperti najis haiwan dan penggunaan racun makhluk perosak yang dialirkan ke dalam sungai juga menyebabkan berlakunya pencemaran air.

Pencemaran tanah berlaku disebabkan tumpahan minyak dan sisa kimia yang menyebabkan tanah menjadi tidak subur untuk segala jenis aktiviti pertanian. Hakisan tanah akibat daripada aktiviti penggondolan bukit juga disebabkan pencemaran tanah. Contohnya, tumpahan minyak di kawasan padang, menyebabkan rumput tidak boleh hidup.

Pencemaran bunyi pula berlaku disebabkan bunyi bising yang keterlaluan di sesuatu kawasan. Bunyi bising ini bukan sahaja menganggu ketenangan orang awam sebaliknya ia juga boleh mendatangkan masalah pendengaran jika berlarutan. Percemaran bunyi biasanya berlaku di kawasan yang sibuk dengan kenderaan, kawasan tapak pembinaan dan industri, dan sebagainya.

Pencemaran sisa pepejal berlaku disebabkan pembuangan bahan sisa pepejal di merata-rata tempat. Contohnya, longgokan sampah yang banyak di kawasan rekreasi menyebabkan kawasan tersebut tercemar. Pencemaran sisa pepejal biasanya mengundang bau yang tidak enak kepada orang awam.

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pencemaran alam ialah melalui pendidikan alam sekitar. Pendidikan alam sekitar boleh diterapkan kepada para pelajar sejak dibangu prasekolah lagi. Hal ini kerana pendidikan alam sekitar merentasi kurikulum di institusi pendidikan. Para pelajar seharusnya diterapkan dengan nilai menghargai dan menjaga alam sekitar. Pendidikan alam sekitar boleh diberikan dengan cara mengajar generasi muda tentang cara menjaga alam sekitar melalui langkah kitar semula, guna semula, dan sebagainya.

Seterusnya, langkah untuk mengatasi masalah pencemaran alam ialah melalui amalan harian di rumah. Setiap anggota keluarga perlu bertanggungjawab dalam memastikan agar amalan harian yang dilakukan tidak membawa kesan kepada alam sekitar. Amalan yang boleh dilakukan oleh anggota keluarga untuk mengatasi pencemaran alam ialah dengan tidak membuang sisa minyak ke dalam singki yang boleh mengakibatkan berlakunya pencemaran air. Sebaliknya, minyak masakan haruslah dibungkus dengan baik dan dibuang ke dalam tong sampah untuk dilupuskan dengan cara yang efisyen. Perbuatan membuang minyak masakan ke dalam singki menyebabkan air sukar dirawat semula.

Selain itu, kempen juga boleh diadakan untuk mengatasi masalah pencemaran alam yang berlaku. Kempen boleh disalurkan kepada masyarakat umum melalui media massa bercetak dan media massa elektronik. Melalui media massa bercetak, artikel dan rencana mengenai cara mengatasi pencemaran alam harus disediakan untuk memudahkan pembaca mengetahui langkah terbaik menguruskan alam sekitar. Iklan tentang penjagaan alam sekitar dan langkah mengatasi alam sekitar boleh juga disiarkan melalui internet, televisyen, radio, dan sebagainya. Iklan-iklan yang dihasilkan haruslah lebih menarik dan kreatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum.


Antara kesan pencemaran alam ialah menjejaskan kesihatan manusia. Pencemaran alam seperti pencemaran udara menyebabkan banyak bahan-bahan terampai terkandung di udara. Hal ini akan menyebabkan manusia mudah mendapat kesan sampingan terhadap kesihatan seperti sesak nafas, batuk, deman, dan sebagainya. Pencemaran air pula menyebabkan manusia mudah terdedah kepada sakit perut, cirit-birit, taun, dan sebagainya.

Selain itu, pencemaran alam juga meninggalkan kesan kemusnahan habitat flora dan fauna. Pencemaran air yang berlaku disebabkan tumpahan minyak dan pembuangan sampah mengakibatkan permukaan air terhalang dan kandungan air juga terdedah kepada banyak bahan kimia. Hal ini akan menyebabkan hidupan akuatik seperti ikan, terumbu karang, dan sebagainya akan musnah. Perkara ini turut menyebabkan para nelayan kerugian kerana tidak dapat mencari hasil laut dengan banyak.

Di samping itu, pencemaran alam juga mengakibatkan berlakunya penipisan lapisan ozon. Pencemaran udara yang disebabkan oleh penggunaan gas CFC daripada penyembur aerosal, penghawa dingin, peti sejuk, dan sebagainya akan menyebabkan lapisan ozon yang meliputi bumi terhakis. Penipisan lapisan ozon ini akan mengundang kesan yang amat berbahaya kepada hidupan. Penipisan lapisan ozon akan menyebabkan cuaca di bumi bertambah panas.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis pencemaran alam yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai masyarakat yang prihatin, kita hendaklah berusaha dan bekerjasama untuk mengurangkan masalah pencemaran alam yang berlaku.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RASUAH (FAKTOR, KESAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN)

TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI (ICT) : KESAN POSITIF & KESAN NEGATIF

INDUSTRI INAP DESA (HOMESTAY) : KEPENTINGAN & CABARAN