LUMBA HARAM : PUNCA-PUNCA BERLAKU & DEFINISI

PUNCA-PUNCA:
1. Masalah keluarga
2. Pengaruh rakan sebaya
3. Pengaruh media massa
4. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah
5. Kemudahan litar lumba yang terhad

Apabila kita membaca akhbar, kita sering didedahkan dengan isu perlumbaan haram. Perlumbaan boleh ditakrifkan sebagai aktiviti perlumbaan kenderaan di atas jalan raya tanpa kebenaran pihak berkuasa seperti pihak polis, Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ), atau mana-mana penganjur yang berdaftar/sah. Perlumbaan haram yang berlaku melibatkan kenderaan bermotor seperti motorsikal dan kereta. Perlumbaan haram biasanya diadakan di kawasan lebuh raya dan pada waktu tengah malam. Statistik menunjukkan peningkatan aktiviti lumba haram semakin bertambah dari tahun ke tahun. Peningkatan ini boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sebenarnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya aktiviti perlumbaan haram.

Antara punca berlakunya aktiviti lumba haram ialah disebabkan masalah keluarga. Kesempitan hidup mampu mendorong seseorang melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sumber kewangan waima dengan cara berlumba haram. Melalui perlumbaan haram, mereka akan diberi ganjaran berupa wang tunai jika bergelar pemenang. Tekanan yang dihadapi dalam keluarga seperti masalah penceraian ibu bapa menyebabkan mereka mencari keseronokan dengan berlumba haram. Sebahagian daripada pelumba haram ini juga kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga yang mendorong mereka melakukan aktiviti yang tidak bermoral untuk mendapatkan perhatian.

Seterusnya, berpunca daripada pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja khususnya mereka yang masih dibangku sekolah sememangnya mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan. Rakan-rakan yang bijak memujuk akan mendorong seseorang menyertai aktiviti tidak sihat mereka. Rakan-rakan yang mencabar seseorang untuk berlumba haram juga menyebabkan mereka mudah terpedaya untuk menyertai perlumbaan haram bagi menunjukkan kehebatan mereka.

Di samping itu, aktiviti lumba haram juga berpunca daripada pengaruh media massa. Media massa elektronik seperti televisyen, internet, dan sebagainya banyak menayangkan drama dan filem yang memperlihatkan babak perlumbaan haram yang menyebabkan penonton berasa ingin mencubanya. Lambakan permainan video yang berunsurkan perlumbaan haram yang banyak terdapat di pasaran membangkitkan semangat pemainnya untuk mencuba aksi-aksi tersebut secara realistik.

Tambahan itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga merupakan punca berlakunya aktiviti lumba haram. Pihak berkuasa yang kurang memantau kawasan-kawasan ‘panas’ yang sering menjadi tempat perlumbaan haram menyebabkan golongan pelumba dengan bebas mengadakan perlumbaan. Pemantauan dan sekatan jalan raya yang dilakukan secara berkala menyebabkan golongan pelumba haram dapat menghidu operasi yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa. Aktiviti rasuah yang berlaku antara pihak berkuasa dengan pelumba haram juga menyebabkan gejala ini sukar dibendung.

Berikutnya, disebabkan kemudahan litar yang terhad. Litar lumba yang terhad menyebabkan golongan pelumba haram ini mengambil alternatif dengan berlumba di jalan raya. Litar untuk berlumba kebanyakkan amat terhad dari segi ruang dan tempatnya. Bayaran litar lumba yang agak tinggi menyebabkan pelumba haram lebih gemar berlumba di atas jalan raya.

Kesimpulannya, aktiviti lumba haram perlulah dibendung dengan sewajarnya. Kerjasama daripada semua pihak diharapkan dapat membendung isu ini dengan lebih giat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RASUAH (FAKTOR, KESAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN)

TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI (ICT) : KESAN POSITIF & KESAN NEGATIF

INDUSTRI INAP DESA (HOMESTAY) : KEPENTINGAN & CABARAN