PANTUN KASIH SAYANG

Dari mana datangnya putih,
Dari ABC mula belajar;
Bagaimana kalau berkasih,
Cincin di jari sama bertukar.

Ikan sepat di Parit Baru,
Sayur manis di Tanah Bawang;
Sudah dapat sahabat baru,
Dalam manis saya terbuang.

Kain putih koyak di tengah,
Pakaian anak naik ke hulu;
Tengah kasih datang fitnah,
Biar saya berundur dahulu.

Kalau pasang air di laut,
Mahukah kita kail gelama;
Sampai hukum ajal dan maut,
Mahukah kita mati bersama?

Kelip-kelip api di pantai,
Anak Belanda memasang pelita;
Air mata menitis ke bantal,
Baru ku sedar hatiku cinta.

Limau purut batang berduri,
Mari dilurut hujung tambak;
Kalau tuan menjauh diri,
Biar saya mati berombak.

Mari sayang mari padiku,
Beras direndam setengah cawan;
Aduhai dayang buah hatiku,
Rasa dendam setengah malam.

Minumlah kopi tidak bergula,
Pahit-pahit dimunum juga;
Jikalau sudah hati gila,
Jahat dan baik kutolong juga.

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Hati kasih saya turutkan.

Nasi masak sayur pun masak,
Turun ke tanah memetik lada;
Hati rosak jantungku rosak,
Rasa bekah dalam dada.


Dipetik Kurik Kundi Merah Saga (Edisi Kedua), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2006.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RASUAH (FAKTOR, KESAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN)

TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI (ICT) : KESAN POSITIF & KESAN NEGATIF

INDUSTRI INAP DESA (HOMESTAY) : KEPENTINGAN & CABARAN