Kelestarian Alam Sekitar ( Maksud , Kesan dan Langkah Membendung )

**

Menurut  Kamus Dewan Edisi Keempat, lestari membawa maksud tidak berubah-ubah, kekal, atau tetap. Oleh itu, bumi yang lestari dapat digambarkan sebagai persekitan bumi yang kekal bebas daripada sebarang unsur kerosakan alam. Walau bagaimanapun, kemajuan era teknologi pada masa kini memperlihatkan kerakusan manusia mengeksplotasi alam sekitar secara berleluasa dan tanpa kawalan. Alam sekitar dieksplotasi secara rakus untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan. Sebenarnya, terdapat beberapa kesan terhadap alam sekitar yang berpunca daripada pengeksplotasian manusia secara besar-besaran dan langkah untuk membendung gejala ini.

Antaranya, menjejaskan habitat flora dan fauna. Pengeksplotasian alam sekitar yang melibatkan kerja-kerja penebangan hutan atau pembukaan baru kawasan hutan mendatangkan ancaman yang serius terhadap habitat flora dan fauna. Menurut Kamus Bahasa Melayu Edisi Kedua (1996), flora membawa maksud tumbuh-tumbuhan yang terdapat pada satu-satu daerah atau pada suatu masa, manakala fauna pula bermaksud seluruh binatang yang hidup di suatu tempat. Oleh itu, kepupusan flora dan fauna membawa maksud kebinasaan atau kepupusan habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan dari kawasan asal. Pengeksplotasian alam sekitar ini juga menyebabkan haiwan yg mendiami sesuatu kawasan terpaksa berpindah ke kawasan lain. Hal ini menyebabkan kitaran kehidupan flora dan fuana ini terjejas. Oleh itu, pengeksplotasian alam sekitar mampu membawa kesan kepada kemusnahan habitat flora dan fauna.

Selain itu, pengeksplotasian alam sekitar  turut membawa kesan terhadap fenomena pemanasan global.  Menurut laporan daripada Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC),  menyatakan bahawa peningkatan suhu global yang terjadi sejak pertengahan abad ke-20 berpunca daripada pelepasan gas berbahaya ke atmosfera yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Pengeksplotasian alam sekitar menyebabkan kawasan hutan diteroka dan dimusnahkan secara besar-besaran. Apabila pokok-pokok ditebang, cahaya matahari akan terus sampai ke permukaan bumi tanpa ada halangan daripada tumbuhan yang rendang. Hal ini akan menyebaban gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh manusia dan haiwan terbebas dan terkumpul di dalam udara kerana ketiadaan pokok yang berfungsi sebagai penyerap gas karbon dioksida dan pembebas gas oksigen. Fenomena ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan suhu setempat yang menyumbang kepada fenomena pemanasan global.

Di samping itu, pengeksplotasian sumber alam secara besar-besaran juga menyebabkan berlakunya fenomena bencana alam. Misalnya, fenomena banjir kilat. Apabila kawasan hutan di tebang, maka tumbuhan yang berfungsi sebagai pengalir air hujan akan hilang. Hal ini akan menyebabkan hujan akan terus sampai ke permukaan bumi tanpa ada halangan dan mengcungkil struktur tanah seterusnya dibawa air hujan sebagai  larian air permukaan ke dalam sungai dan menyebabkan mendapan sungai yang boleh mengakibatkan berlaku banjir kilat. Kejadian tanah runtuh juga boleh berlaku apabila tanah kehilangan cengkaman daripada akar-akar pokok.

Antara langkah yang boleh diambil untuk membendung isu pengeksplotasian alam sekitar secara rakus oleh manusia ialah dengan memperkasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Akta ini perlu ditambah baik dengan memperketatkan larangan dan kawalan mengenai pencemaran, penerokaan hutan dan sebagainya. Hukuman yang berat perlu dilaksanakan ke atas mereka yang didapati bersalah dalam kegiatan pengeksplotasian alam sekitar secara haram. Hal ini penting agar induvidu atau golongan ini serik untuk mengulangi kesilapan mereka pada masa akan datang.

Seterusnya, melalui aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Pengeksplotasian alam sekitar sememangnya menyebabkan hutan di musnahkan dengan giat. Pemeliharaan hutan seperti penanaman semula pokok-pokok dapat dijadikan tempat serapan air hujan yg lebih berkesan bagi mengelakkan berlaku fenomena banjir kilat. Penanaman semula pokok-pokok juga dapat membekalkan gas oksigen yang cukup untuk penghuni bumi. Hal ini akan menjadikan bumi lebih hijau dan tidak terlalu panas.

Kesimpulannya, kegiatan mengeksplotasi sumber alam sekitar haruslah dibendung dengan lebih giat agar kegiatan ini tidak membawa kesan negatif terhadap kelestarian bumi. Semua pihak terutamanya pihak kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar haruslah memainkan peranan penting dan aktif dalam membendung masalah ini. Penglibatan pelbagai pihak sememangnya akan membawa kesan positif terhadap usaha membendung masalah alam sekitar ini.


**Sumber foto daripada Google Images

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RASUAH (FAKTOR, KESAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN)

TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI (ICT) : KESAN POSITIF & KESAN NEGATIF

INDUSTRI INAP DESA (HOMESTAY) : KEPENTINGAN & CABARAN